Monday, February 17, 2014
Peruntukan RM400,000 Beli Pam Mudah Alih Bantu Pesawah Di Kelantan
KOTA BAHARU, 17 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi peruntukan segera RM400,000 bagi membeli lebih 300 pam mudah alih untuk membantu petani di Kelantan mengepam air ke sawah yang kekeringan akibat musim kemarau sekarang.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pam yang diagihkan kepada unit peladang Pertubuhan Peladang Kawasan itu akan digunakan untuk mengepam air dari tali air ke parit jejari sebelum memasuki sawah.
Beliau berkata 8,000 petani di negeri itu yang mengusahakan tanaman padi berdepan dengan anggaran kerugian RM90 juta akibat kemarau jika tindakan segera tidak dilakukan untuk membekalkan air ke sawah.
Dijangkakan dalam tempoh satu hingga dua minggu jika air tidak dibekalkan ke sawah, tanaman padi ini akan musnah, katanya kepada pemberita selepas berjumpa dengan petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di sini Isnin.
"Dengan bantuan jangka pendek ini iaitu menggunakan pam mudah alih, kita berharap dapat menyelamatkan tanaman padi mereka," katanya.
Menteri itu berkata Kada setakat ini tidak menghadapi masalah untuk mengepam air dari Sungai Kelantan ke tali air, namun wujud kebimbangan aktiviti menyedut pasir di beberapa kawasan di sungai berkenaan akan menurunkan paras air.
Beliau berkata sebagai langkah jangka panjang untuk memastikan sawah memperoleh bekalan air mencukupi, kerajaan sedang membina empangan rendah merentangi Sungai Kelantan di Kampung Kasar, Pasir Mas dengan kos RM38 juta yang dijangka siap pada September 2015.
Sementara itu, Ismail Sabri meminta kerajaan Kelantan turut sama membantu petani yang menghadapi masalah termasuk menghapuskan cukai air sebanyak RM10 bagi setiap 0.4 hektar sawah setahun, yang dikenakan kepada petani di daerah Pasir Mas dan Tumpat.
"Kita tahu kekangan kerajaan negeri, kita tidak jangka mereka keluarkan berpuluh-puluh juta ringgit untuk membina empangan. Tetapi kita minta kerjasama mereka untuk menghapuskan cukai air itu," katanya.
SUMBER : BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1015099
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment