Monday, February 24, 2014

Masalah Sawah Jerlus Diatasi – Dato` Sri Ismail Sabri

PENDANG 24 Feb. – Pembatalan tanaman padi selama dua musim melibatkan 3,877 pesawah kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan tanah jerlus dijalankan di kawasan diusahakan. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, DatO` Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata, kawasan sawah itu melibatkan 29 blok pengairan di bawah 12 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kedah dan dan Perlis bermula hujung Mac ini sehingga Februari tahun depan. “Apabila kerja-kerja penambahbaikan itu siap, kerajaan juga akan memastikan petak sawah tersebut turut dibersihkan sebelum diserahkan kembali kepada para pesawah terlibat,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Kampung Bendang Raja, Kubur Panjang, di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ( Pembangunan), Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang , Datuk Zainal Dahlan dan Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz. Tambah beliau, dalam usaha membantu petani tersebut, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM36.8 juta pemberian wang ihsan. Katanya, peruntukan itu bagi membolehkan para pesawah terbabit menyara kehidupan sementara menanti kerajaan melakukan penambahbaikan terhadap tanah sawah milik mereka. “Bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan di kawasan sawah seluas 8,107 hektar yang menghadapi masalah, kesemua mereka diminta membatalkan dua musim penanaman padi. “Untuk itu, mereka akan diberikan wang ihsan pada kadar RM2,645.50 sehektar untuk setiap musim tanaman yang dibatalkan. Kadar tersebut berasaskan kepada nilai subsidi yang sepatutnya diterima oleh peladang pada setiap musim penanaman,” katanya. Mengulas mengenai mekanisme digunakan untuk mengatasi masalah itu, beliau memberitahu, pihak kementerian memperuntukkan sebanyak RM25.02 juta melalui peruntukan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan ‘Rolling Plan 3′ untuk pembinaan dan pemulihan infrastruktur saliran, meninggikan ban sungai, pembinaan sistem pam saliran dan pelbagai perkara lagi. SUMBER : UTUSAN http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140225/dn_13/Masalah-sawah-jerlus-diatasi—Ismail-Sabri#ixzz2uHxgKAUC

No comments:

Post a Comment