Tuesday, February 4, 2014

Konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam Diperkenal

Kerajaan sentiasa prihatin dan menitikberatkan kesejahteraan penjawat awam supaya mereka dapat menumpukan tenaga dan usaha sepenuhnya ke arah menyampaikan perkhidmatan awam yang sentiasa cemerlang Justeru, kerajaan telah memperkenalkan konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam yang akan diterapkan kepada 1.4 juta penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan tersebut menepati kehendak rakyat. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa berkata, konsep itu merupakan salah satu usaha transformasi kerajaan sebelum memasuki fasa Wawasan 2020 bagi menjadikan perkhidmatan awam sebagai perkhidmatan rakyat yang lebih berkonsepkan memahami kehedak dan keperluan rakyat. Terdapat Enam Prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam iaitu sifat keterbukaan yang membawa maksud minda terbuka dan mudah didekati agar rakyat berasa selesa untuk berinteraksi dengan penjawat awam. Prinsip yang kedua adalah sentiasa turun padang untuk mengenal dan memahami isu-isu yang dihadapi oleh rakyat dan seterusnya menyelesaikannya secepat mungkin. Pendekatan musyawarah merupakan prinsip ketiga yang mengambil kira pandangan, maklum balas dan penglibatan rakyat dalam mencorakkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Bagi prinsip yang keempat pula merupakan insaniah dalam keseimbangan dari aspek kekuatan rohani dan kekuataan jasmani bagi memastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan cemerlang. Prinsip kekitaan yang memerlukan semua agensi kerajaan bergerak sebagai satu entiti, membuang mentaliti silo dan berkongsi sumber, pengetahuan serta kepakaran dalam menjayakan agenda transformasi negara Prinsip yang terakhir adalah perkhidmatan awam perlu meningkatkan kerjasama strategik dengan pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat. Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Amanah Bersama Ketua Setiausaha Negara pada 20 Januari 2014 bertempat di Putrajaya. Beliau turut melancarkan buku “Merakyatkan Perkhidmatan Awam” yang akan dijadikan kerangka panduan penjawat awam ketika berurusan dengan rakyat.

No comments:

Post a Comment