Tuesday, February 18, 2014

Kemarau: Kedah Akan Bantu pesawah

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan mencari alternatif untuk membantu pesawah yang mengalami kerugian kerana sawah tidak dapat diusahakan berikutan kemarau ketika ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob, berkata cadangan untuk memberikan bantuan khas itu akan dibincangkan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri melalui perjumpaan pada 3 Mac. "Kejadian seperti ini belum pernah berlaku di Kedah. Faktor cuaca yang sangat panas sekarang menyebabkan hasil tanaman padi menjadi kering sehingga menyebabkan pesawah tidak boleh mengusahakan tanaman mereka. "Memandangkan ia bukan bencana alam, memang tiada peruntukan yang disediakan tapi kami akan mempertimbangkan untuk memberikan bantuan khas membantu golongan pesawah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Makmal Transformasi Wanita Negeri Kedah di sini hari ini. Suraya berkata, kejadian itu menyebabkan golongan pesawah mengalami kerugian lebih RM200,000 akibat tanaman mereka tidak dapat diusahakan kerana permukaan tanah sawah menjadi kering. "Saya sudah minta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk menjalankan bancian bagi mengetahui bilangan pesawah yang terbabit dan jumlah kerugian sebenar. "Melalui bancian yang dibuat, kami akan bawa maklumat itu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk dibincangkan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil," katanya. Kira-kira 100 pesawah dari tujuh kampung iaitu Kampung Bendang Raja, Kampung Celong, Kampung Nam Dam, Kampung Padang Durian, Kampung Tok Dam, Kampung Belat dan Kampung Rasau di daerah Pendang, tidak dapat mengusahakan sawah mereka yang kering-kontang seluas lebih 100 hektar akibat kemarau teruk yang melanda negeri ini sejak Januari. SUMBER : BERNAMA http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kemarau_Kedahakanbantupesawah/Article/

No comments:

Post a Comment