Tuesday, February 4, 2014
Penyeragaman Harga Padi dan Pengagihan Jualan Beras ST15
Kerajaan menyeragamkan harga padi di Semenanjung Malaysia kepada RM1,200 setan metrik berkuatkuasa musim penuaian akan datang, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru itu, katanya kilang-kilang swasta yang membeli padi daripada pesawah diwajibkan mengikut harga yang ditetapkan itu.
“Jika mereka membeli padi tidak mengikut harga yang ditetapkan, kita akan menarik balik lesen pembelian padi mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jihad Memerangi Orang Tengah Dalam Sub-Sektor Padi dan Beras di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong, Binjai, Kelantan.
Beliau berkata setakat ini, harga pembelian padi di negeri-negeri tidak seragam termasuk di Kelantan yang berharga RM980 setan metrik, Kedah (RM1,050) dan Selangor (RM1,200).
Menurutnya langkah menyeragamkan harga pembelian padi itu bertujuan menghapuskan peranan ‘orang tengah’ yang sering memanipulasi aktiviti penjualan padi hingga merugikan petani.
“Akibat aktiviti ‘orang tengah’ yang semakin berleluasa, petani kerugian atau memperolehi keuntungan kecil selain bergantung kepada ‘orang tengah’ se.hingga tidak dapat lari daripada cengkaman mereka,” katanya.
Dato’ Sri Ismail Sabri berkata bagi menghapuskan peranan ‘orang tengah’, kesemua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan digerakkan bagi membeli padi terus daripada pesawah dan membawanya ke kilang memproses padi BERNAS.
Penentuan mutu sebenar padi di pusat pembelian padi yang dikendalikan oleh PPK, MADA dan KADA itu akan melibatkan PPK, Petani dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), dan pemutuan sebenar padi turut diwajibkan di kilang padi swasta. PPK, MADA dan KADA juga akan menyediakan khidmat mekanisasi, membekalkan input pertanian, mewujudkan dana kebajikan dan pinjaman mudah kepada petani yang selama ini khidmat tersebut dimonopoli oleh ‘orang tengah’.
Sementara itu, Dato’ Sri Ismail Sabri berkata bagi memantapkan lagi pengagihan jualan beras subsidi ST15 kepada golongan berpendapatan rendah, pengagihan beras itu kepada petani akan dilaksanakan di Pusat Belian Padi, PPK dan kilang-kilang beras BERNAS mulai 1 April ini.
Beras itu juga tidak akan dipasarkan di pasaraya besar sebaliknya hanya dijual di kedai berdekatan golongan sasar seperti Kedai AgroBazar, Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai TUKAR, Kedai Peladang, Kedai Koperasi, Kedai e-kasih, Kedai Felda, kedai runcit di perumahan awam kos rendah dan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) serta kedai runcit di kawasan luar bandar.
Kampit beras ST15 akan dilabelkan dengan “Kegunaan Isi Rumah Warganegara Malaysia Sahaja” dan pembelian dihadkan kepada dua kampit untuk satu keluarga sebulan, katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment